Radiografi Am dan Mudah Gerak
Perkhidmatan radiografi am Jabatan Radiologi Hospital USM disediakan kepada klinik-klinik pesakit luar, pesakit dari wad dan daripada Jabatan Trauma & Kecemasan. Terdapat 5 bilik pemeriksaan dan 2 unit mesin mudah gerak yang memberi perkhidmatan radiografi am kepada pesakit.
Bagi pesakit luar, waktu perkhidmatan bermula dari jam 8.00pagi – 5.00petang, manakala perkhidmatan 24 jam sehari diberi kepada pesakit-pesakit dari Jabatan Trauma & Kecemasan dan pemeriksaan selepas waktu pejabat bagi pesakit wad (perlu memohon melalui telefon terlebih dahulu untuk pesakit wad selepas waktu pejabat). Pesakit-pesakit yang memerlukan perkhidmatan radiografi am boleh datang terus ke Jabatan Radiologi Hospital USM pada masa yang ditetapkan tanpa memerlukan temujanji.
Masa pesakit menunggu untuk menjalani pemeriksaan x-ray biasa adalah dalam tempoh 1 jam tidak kurang dari 90% dan 90% laporan pemeriksaan khusus dikeluarkan dalam masa 5 hari bekerja bagi pesakit dalam dan 7 hari bekerja bagi pesakit luar.
Unit Radiografi AM dan Mobile mempunyai kemudahan mesin berikut:
- Bilik 1 – DRX Compass Carestream
- ROSe – Quantum Q-Rad Carestream
- Bilik X-Ray Klinik Pakar (satelit) – 2 Unit Philips Digital Diagnost Digital X-ray System
- Bilik DDR Trauma – Samsung GC85 Digital X-ray Machine
- Transbay Trauma – Samsung GC85 Digital X-ray Machine
- Mesin mobile – 2 Unit GM85 Digital Mobile X-ray Machine-DR
- Bilik 1 - DRX Compass Carestream
Bilik 1 – DRX Compass Carestream
Bilik 1 digunakan untuk melakukan x-ray kepada pesakit-pesakit dari ward. Bilik ini berada bersebelahan dengan Klinik Radiologi dan beroperasi dari pukul 8.00pagi – 5.00petang. Talian untuk bilik pemeriksaan ini ialah 09 767 3480.
2. Bilik X-Ray ROSe
Bilik ROSe digunakan untuk melakukan x-ray ke atas pesakit-pesakit dari wad selepas waktu pejabat. Bilik ini berada bersebelahan dengan bilik CT Scan Siemens. Bagi wad yang ingin menghantar pesakit untuk melakukan x-ray selepas waktu pejabat perlu menelefon di talian 09 767 3475 terlebih dahulu.
3. Bilik X-Ray Klinik Pakar (Satelit)
Bilik x-ray satelit digunakan untuk melakukan x-ray ke atas pesakit-pesakit dari Klinik Pakar Hospital USM bermula jam 8.00pagi – 5.00petang. Bilik ini berada bertentangan dengan surau Kopitiam. Terdapat 2 unit mesin x-ray yang ditempatkan di bilik 1 dan bilik 2 supaya x-ray dapat dilakukan dengan lebih pantas. Talian untuk bilik pemeriksaan ini ialah 09 767 3474.
4. Bilik DDR Trauma - Samsung GC85 Digital X-Ray Machine
Bilik x-ray DDR Trauma menyediakan perkhidmatan x-ray kepada pesakit dari Jabatan Trauma & Kecemasan 24 jam sehari. Bilik ini berada di Zon Kuning Jabatan Trauma & Kecemasan. Talian untuk bilik pemeriksaan ini ialah 09 767 3478.
5. Transbay Trauma - Samsung GC85 Digital X-ray Machine
Transbay Trauma menyediakan perkhidmatan x-ray kepada pesakit yang berada di Zon Resus Jabatan Trauma & Kecemasan. Beroperasi 24jam sehari dan melakukan x-ray pada bahagian yang penting seperti x-ray dada dan kawasan abdomen. Talian untuk bilik pemeriksaan ini ialah 09 767 3478.
6. Mesin Mobile ( Mudah Gerak) - 2 Unit model Samsung GM85 Digital Mobile X-ray Machine
Jabatan Radiologi Hospital USM juga menyediakan perkhidmatan x-ray mudahgerak. 1 unit x-ray mudahgerak ditempatkan di Jabatan Trauma & Kecemasan bagi menyediakan perkhidmatan x-ray di Zon Merah, Wad sementara(Observation Ward ) dan wad Trauma ICU (TICU) manakala satu lagi unit x-ray mudahgerak ditempatkan di Jabatan Radiologi bagi melakukan x-ray di semua wad dalam Hospital USM. Talian untuk pemeriksaan ini ialah 09-767 3478 untuk Jabatan Trauma & Kecemasan manakala 09 767 3475 bagi semua wad dalam Hospital USM.
Jenis Pemeriksaan Yang Ditawarkan di Jabatan Radiologi
Semua jenis pemeriksaan x-ray seperti :-
- Spina (tulang belakang) –contoh : Spina servikal, spina lumbar
- Anggota atas dan bawah – contoh: sendi lutut, sendi pergelangan tangan dan lengan
- Tengkorak dan tulang muka – contoh: rangka kepala, sinus, dagu dan gusi
- Thorax – contoh : Dada, klavikel, tulang rusuk
- Abdomen dan pinggul – contoh: sendi pinggul, abdomen
Persediaan Pesakit Bagi Pemeriksaan X-Ray Radiografi Am
-
Pemeriksaan radiografi am memerlukan persediaan tertentu. Setiap pesakit perlu mematuhi persediaan pesakit yang diperlukan untuk menjalani pemeriksaan radiografi.
-
Juru X-ray akan memanggil dan memeriksa identiti anda sebelum membawa anda masuk ke dalam bilik
-
Sila maklumkan kepada Juru X-ray sekiranya anda hamil atau mungkin
-
Anda mungkin akan diminta untuk menukar kepada pakaian hospital. Barang kemas dan jam tangan mungkin perlu ditanggalkan jika ianya dipakai di bahagian yang hendaki.
Semasa
- Juru X-ray akan menerangkan kepada anda prosedur pemeriksaan.
- Beliau akan memposisikan bahagian badan anda untuk x-ray. Anda mungkin perlu duduk, berdiri atau berbaring bergantung kepada bahagian yang di x-ray. Anda mungkin tidak selesa di beberapa posisi tetapi beg pasir dan alat cegah gerak akan digunakan untuk mengekalkan setiap posisi.
- Anda mungkin akan diminta supaya tidak bergerak dan menahan nafas ketika dedahan x-ray dilakukan kerana sebarang pergerakkan akan menyebabkan kekaburan imej. Kerjasama anda dapat membantu mengelakkan pemeriksaan ulangan.
- Pelindung plumbum akan diberikan kepada anda selagi ianya tidak menggangu
bahagian yang di x-ray. - Juru X-ray mungkin perlu melakukan lebih dari satu dedahan x-ray dari sudut yang berlainan untuk mendapatkan projeksi yang diperlukan untuk diagnosa.
Selepas
- Juru X-ray akan meneliti imej yang dihasilkan. Jika mencukupi anda boleh menukar semula pakaian dan dibenarkan pulang. Sila pastikan anda tidak meninggalkan barang-barang anda di jabatan.
- Tiada kesan sampingan apabila menjalani pemeriksaan x-ray biasa dan anda boleh menjalankan aktiviti harian anda.
Maklumat Kepada Pesakit
- Pesakit perlu hadir untuk melakukan pemeriksaan x-ray seawal-awalnya jam 8.00 pagi dan selewat-lewatnya 15 minit sebelum waktu pejabat berakhir.
- Laporan pemeriksaan akan diberikan dalam tempoh 3 hari bagi pesakit dalam dan 7 hari bekerja bagi pesakit luar.
- Sila bawa surat jaminan (GL) bagi yang berkenaan untuk memudahkan urusan bayaran.
- Pesakit akan diberikan nombor giliran.
- Pesakit dinasihatkan untuk menunggu di bilik pemeriksaan yang telah diberikan.
- Ikut arahan Juru X-ray semasa menjalankan pemeriksaan x-ray di bilik pemeriksaan.
- Selesai pemeriksaan sila kembali berjumpa pegawai perubatan di klinik/wad atau datang pada tarikh temujanji klinik yang telah diberikan.
- Imej yang dihasilkan adalah dalam bentuk digital. Tiada sebarang filem akan diberikan. Untuk salinan filem/CD, pesakit perlu dapatkan borang permohonan dari pegawai perubatan yang merawat.
- Jika pesakit memerlukan filem/CD, caj tambahan untuk filem atau CD akan dikenakan keatas semua pesakit.
Kredit : Suliya A/P Su Tin