Unit Fluoroskopi Jabatan Radiologi
Perkhidmatan imbasan imej berasaskan sinar-X masa-nyata (real-time) berteknologi tinggi untuk menyokong ketepatan diagnostik dan rawatan klinikal yang berkesan.
Apakah itu Fluoroskopi?
Secara ringkasnya, berbeza dengan radiografi am (sinar-X biasa) yang bersifat statik (pegun) seperti gambar foto, fluoroskopi bersifat dinamik seperti rakaman video.
Prosedur ini memaparkan pergerakan organ dalaman dan tisu badan pesakit secara terus (real-time) melalui skrin komputer beresolusi tinggi. Ia memberikan nilai tambah yang sangat bermakna kepada maklumat diagnostik berkenaan fungsi sistem badan secara lebih menyeluruh.
Waktu Operasi & Akses
Perkhidmatan ini disediakan untuk pesakit luar (secara temu janji) dan pesakit dalam wad mengikut keperluan diagnostik.
| HARI | WAKTU OPERASI |
|---|---|
| Ahad – Rabu | 8.00 pagi – 5.00 petang |
| Khamis | 8.00 pagi – 3.30 petang |
| *Tutup pada Hari Jumaat, Sabtu & Cuti Umum | |
Kemudahan Teknologi Terkini
Jabatan Radiologi HUSM dilengkapi dengan unit modaliti canggih Siemens Artis Zee with PURE®. Sistem ini dilengkapi unit C-arm (single plane) canggih yang berkeupayaan menghasilkan kualiti imej beresolusi tinggi di samping mengoptimumkan pemancaran dos radiasi ke tahap paling rendah untuk keselamatan pesakit.
Jenis Pemeriksaan Fluoroskopi
Pemeriksaan yang ditawarkan dikategorikan mengikut sistem organ badan:
| Sistem Badan | Jenis Pemeriksaan Fluoroskopi |
|---|---|
| Pencernaan (Gastrointestinal) | Barium Swallow, Barium Meal (Upper GI), Barium Enema (Lower GI), Defecating Proctogram, Endoscopic Retrograde Cholangiopancreatography (ERCP), dan Percutaneous Transhepatic Cholangiography (PTC). |
| Urinari (Urologi) | Micturating Cystourethrogram (MCU) dan Intravenous Urography (IVU). |
| Muskuloskeletal | Arthrography. |
| Pembiakan (Reproduktif) | Hysterosalpingography (HSG). |
| Lain-lain | Distal Loopogram dan Shuntogram. |
Panduan Persediaan Pesakit
1. Makluman Kesihatan & Alergi
Sila maklumkan sejarah penyakit kronik, alahan ubat, atau reaksi buruk terhadap media kontras sebelum prosedur dijalankan.
2. Arahan Berpuasa
Bagi sesetengah pemeriksaan, anda mungkin dikehendaki berpuasa sekurang-kurangnya 6 jam sebelum ujian. Ikuti arahan khas daripada pihak hospital.
3. Etika Pakaian
Gunakan pakaian yang selesa dan mudah ditanggalkan. Elakkan perhiasan logam. Anda mungkin diminta menukar pakaian hospital.
4. Makluman Kehamilan
Penting: Sila maklumkan kepada petugas sekiranya anda sedang atau disyaki hamil bagi mengelakkan pendedahan radiasi yang tidak diperlukan.
5. Kestabilan Emosi & Komunikasi
Jangan ragu untuk bertanya soalan kepada pasukan perubatan sekiranya berasa bimbang. Kami sedia membimbing anda sepanjang prosedur.
6. Keperluan Pengiring
Bagi pesakit luar yang menjalani prosedur memerlukan anestesia/sedasi atau rasa kurang sihat, disarankan membawa ahli keluarga sebagai pengiring untuk perjalanan pulang.
Borang Persediaan Pesakit HSG
Muat Turun Borang (PDF)Apa Yang Perlu Dijangkakan?
Sebelum Prosedur
- Patuhi arahan puasa jika berkaitan.
- Sahkan maklumat kehamilan & alergi.
- Tukar pakaian hospital jika diminta.
Semasa Prosedur
- Berbaring di atas meja ujian mengikut posisi yang diarahkan.
- Pemberian media kontras melalui cecair minuman, ujian tiub, atau pembuluh darah.
- Masa prosedur: beberapa minit hingga 30+ minit mengikut ujian.
Selepas Prosedur
- Disyorkan minum air kosong berlebihan untuk membuang kesan cecair kontras.
- Boleh kembali melakukan aktiviti harian melainkan diarahkan sebaliknya oleh doktor.
Pertanyaan & Pertukaran Temu Janji
Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan berkenaan prosedur fluoroskopi, sila hubungi talian kami:
09-767 3471 (Kaunter Temu Janji)