Skip to main content

Jabatan Radiologi PPSP

Intervensi

Pengenalan Angiografi Intervensi di Jabatan Radiologi

Apa itu angiografi intervensi: Ia merupakan satu prosedur invasif minima yang melibatkan proses diagnosis dan rawatan kepada pesakit yang mempunyai masalah atau penyakit terutamanya pada saluran darah, hati, limfa dan buah pinggang. Kaedah pengimejan moden dan canggih di Jabatan Radiologi ini membolehkan pasukan perubatan melihat saluran darah pesakit dengan ketelitian yang tinggi sekaligus dapat membantu dalam diagnosis dan rawatan pelbagai jenis penyakit berkait dengan salur darah dan lain-lain lagi.

Perbandingan fluoroskopi dan angiografi?

 Fluroskopi  Angiografi
 
 
  • Menghasilkan siri imej tanpa penggunaan fungsi digital subtraction angiography (DSA).
  • Memaparkan keseluruhan imej struktur badan pesakit.
  • Menggunakan bahan kontras yang pelbagai seperti barium, gastrografin dan iodin bergantung kepada jenis prosedur.
  • Menghasilkan siri imej yang menggunakan fungsi DSA dengan bantuan kontras media.
  • Memaparkan imej salur darah dengan lebih terperinci.
  • Menggunakan bahan kontras iodin sahaja.

 

Prosedur angiografi dijalankan di Unit "Advanced Minimally Invasive Endovascular & Neurointervention" (AMIEN) yang mempunyai 2 bilik pemeriksaan yang selesa untuk prosedur ini dijalankan.

Waktu operasi perkhidmatan angiografi adalah seperti berikut :-
Hari Ahad hingga Rabu : 8.00 pagi hingga 5.00 petang
Hari Khamis : 8.00 pagi hingga 3.30 petang

 

 Mengapa pilih angiografi di Jabatan Radiologi HUSM?

  • Ketepatan terbaik: Teknologi angiografi terkini dapat memaparkan imej saluran darah yang lebih terperinci, membolehkan pasukan perubatan membuat diagnosis yang tepat dan rawatan yang bersesuaian dengan penyakit yang dihadapi pesakit.
  • Invasif minima: Dapat mengurangkan risiko berbanding kaedah pembedahan konvensional sekaligus dapat menyumbang kepada kadar pemulihan yang lebih cepat dan memberi lebih keselesaan kepada pesakit.
  • Penjagaan vaskular komprehensif: Penjagaan komprehensif yang bersesuaian dengan keperluan penyakit yang dirawat ke atas pesakit.
  • Pasukan pakar: Terdiri daripada pakar radiologi intervensi, pakar bedah vaskular dan pakar bius yang berpengalaman dan saling bekerjasama dalam mengendalikan prosedur angiografi.
  • Fasiliti teknologi terkini: Sistem angiografi yang digunakan adalah terkini dan canggih bagi memastikan kualiti pengimejan dan ketepatan diagnosis yang tinggi dapat diberikan kepada pesakit.
  • Keputusan lebih cepat: Dengan bantuan teknologi terkini, pihak kami juga dapat menghasilkan keputusan imej yang lebih cepat, tepat dan berkualiti tinggi.
  • Pusat rujukan: Merupakan pusat rujukan bagi negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia untuk prosedur berkaitan angiografi intervensi.

Kemudahan Yang Disediakan

Terdapat dua (2) unit modaliti angiografi berteknologi tinggi dan terkini yang ditempatkan di Unit AMIEN, Jabatan Radiologi HUSM. Sistem utama yang digunakan adalah Siemens Artis Zee yang mempunyai 2 unit C-arm (bi-plane) yang berupaya untuk menghasilkan kualiti imej yang baik, dos radiasi yang rendah dan optimum.

  • Manakala satu lagi modaliti yang digunakan adalah GE OEC One CFD yang merupakan satu jenis C-arm mudah alih yang berupaya untuk menghasilkan imej Digital Subtraction Angiography (DSA) yang berkualiti tinggi.
    Selain daripada mesin angiografi, terdapat juga dua unit mesin ultrasound berteknologi terkini yang digunakan bagi membantu prosedur angiografi intervensi dijalankan.

 

Jenis Pemeriksaan yang ditawarkan di Jabatan Radiologi

Jenis pemeriksaan angiografi yang ditawarkan terbahagi kepada diagnostik dan intervensi seperti berikut:

Jenis Prosedur
Contoh Pemeriksaan
Diagnostik
Cerebral angiography, thoracic angiography, abdominal angiography, peripheral angiography (upper and lower limb), fistulogram dan venogram
 
Intervensi
Embolization, angioplasty, venoplasty, fistuloplasty, sclerosant therapy, transarterial chemoembolization (TACE), nephrostomy,
percutaneous transhepatic biliary drainage (PTBD), percutaneous transhepatic cholangiography (PTC) dan lymphangiogram.
 

 

Persediaan Pesakit Bagi Pemeriksaan Angiografi

Berikut adalah panduan persediaan pesakit yang perlu anda ikuti sebelum menjalani prosedur:

  1. Masuk wad: Pesakit akan ditempatkan di dalam wad sebelum prosedur bagi memastikan persediaan pesakit dilakukan dengan teliti.
  2. Maklumkan tahap kesihatan Anda: Sila maklumkan kepada kami mengenai sebarang penyakit kronik, alergi ubat-ubatan, atau sejarah reaksi buruk terhadap kontras media sebelum prosedur. Maklumat ini penting bertujuan untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan prosedur.
  3. Puasa: Prosedur angiografi melibatkan penggunaan kontras media iodin. Oleh sebab itu, pesakit akan diminta selama 6 jam sebelum prosedur dijalankan bagi mengelakkan sebarang komplikasi semasa prosedur dijalankan.
  4. Pakaian yang Sesuai: Pesakit akan dibekalkan pakaian hospital semasa di dalam wad. Elakkan memakai sebarang perhiasan dan pastikan ianya disimpan dengan baik.
  5. Maklumkan kehamilan: Jika anda hamil atau disyaki hamil, sila maklumkan kepada pasukan perubatan yang merawat kerana pendedahan kepada sinar radiasi mungkin membahayakan janin yang sedang berkembang. Jika anda menyusu, bincangkan dengan petugas sekiranya anda harus berhenti menyusu buat sementara waktu selepas menerima bahan kontras. Ini kerana ianya boleh meresap ke dalam susu ibu.
  6. Menjaga kestabilan emosi: Prosedur ini mungkin menimbulkan rasa cemas atau tidak selesa. Jika anda merasakan ketidakselesaan atau kebimbangan, sila maklumkan kepada pasukan perubatan.
  7. Tanyakan soalan: Jika anda mempunyai sebarang soalan mengenai prosedur, risiko, atau apa yang perlu anda lakukan, jangan ragu untuk bertanya kepada pasukan perubatan kami. Kami sedia untuk menjawab dan memberikan penjelasan yang anda perlukan.
 
Maklumat kepada pesakit
Maklumat penting untuk pesakit menjalani prosedur angiografi:
 
 Persediaan Sebelum Prosedur:
  1. Pastikan anda mengikuti arahan berpuasa seperti yang diterangkan.
  2. Beritahu pasukan perubatan jika anda mengandung atau ada sejarah alergi terhadap bahan kontras. 
Semasa Prosedur:
  1. Anda akan diminta berbaring di atas meja ujian di dalam bilik pemeriksaan.
  2. Doktor dan pasukan perubatan akan memastikan anda memahami prosedur dan memberikan peluang untuk bertanya soalan sebelum bermula.
  3. Tempoh Prosedur: Tempoh prosedur boleh berbeza bergantung kepada jenis ujian yang dijalani sama ada diagnostik atau terapeutik, tetapi ia biasanya berlangsung dari 1 jam atau lebih dari dua jam.
Selepas Prosedur:
  1. Anda akan diberikan makanan dan minuman selepas dimasukkan ke dalam wad.
  2. Pesakit dinasihatkan supaya banyakkan minum air selepas prosedur untuk membantu membuang bahan kontras dari tubuh.
  3. Pemantauan ke atas pesakit akan diteruskan di dalam wad bagi memastikan keadaan pesakit stabil selepas menjalani prosedur angiografi.
  4. Jika tuan/puan ada sebarang kemusykilan dan pertanyaan berkenaan prosedur angiografi, sila hubungi di talian 09-767 3466 (Unit AMIEN) 

 

 Kredit : Muhammad Syazwan Rosnan