Skip to main content

Jabatan Radiologi PPSP

Pengenalan Unit WISH

Unit WISH (Women’s Imaging Suite) di Jabatan Radiologi merupakan pusat pengimejan payudara khusus yang menyediakan perkhidmatan saringan dan diagnostik bagi pengesanan awal serta penilaian tepat kanser payudara dan penyakit berkaitan.

Walaupun saringan kanser payudara tidak dapat mencegah penyakit ini sepenuhnya, ia memainkan peranan penting dalam mengenal pasti perubahan payudara pada peringkat awal, seterusnya meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan dan hasil kesihatan yang lebih baik.

 

Unit WISH beroperasi dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Semua pemeriksaan dijalankan berdasarkan temujanji, yang boleh dibuat di kaunter temujanji Jabatan Radiologi.

Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk:

  • Mamografi digital 3D – untuk pengesanan awal perubahan tisu payudara
  • Ultrasound payudara 2D – sebagai pemeriksaan tambahan dan penilaian lanjut
  • ABUS (Automated Breast Ultrasound System) atau dikenali sebagai ultrasound 3D, khusus untuk wanita dengan tisu payudara padat

Unit WISH di Jabatan Radiologi kini dilengkapi dengan teknologi pengimejan payudara terkini bagi meningkatkan ketepatan pengesanan awal kanser payudara serta keselesaan pesakit.

Antara penambahbaikan utama ialah penggunaan mesin mammografi generasi baharu, GMM Viola DBT, sebuah sistem Breast Tomosynthesis yang maju dan inovatif, lengkap dengan keupayaan menghasilkan imej Full-Field Digital Mammography (FFDM). Sistem ini membolehkan penilaian payudara yang lebih terperinci dan tepat berbanding mammografi konvensional.

Viola DBT

 

              Console 

 

Ciri-ciri Utama GMM Viola DBT

  • Reka bentuk ergonomik yang mengutamakan keselesaan pesakit
  • Pengendalian yang mudah dan efisien untuk operator
  • Gantry fleksibel yang boleh dilaraskan ke pelbagai posisi, termasuk posisi mendatar bagi prosedur intervensi
  • Kit biopsi berpandukan tomosintesis berketepatan tinggi untuk mengurangkan tempoh prosedur dan kebimbangan pesakit
  • Dilengkapi algoritma khas bagi memastikan kualiti imej yang optimum
  • Antara muka perisian Raffaello yang mesra pengguna
  • Menyokong teknik Dual Energy (CESM) bagi diagnosis yang selamat dan tepat

Contrast Injector Accutron

 

Sebagai pelengkap kepada mammografi, Unit WISH turut menawarkan ABUS (Automated Breast Ultrasound System), iaitu sistem ultrasound payudara automatik tiga dimensi (3D) yang direka khusus untuk wanita dengan tisu payudara padat. Kira-kira 40% wanita mempunyai jenis tisu payudara ini, yang boleh menyukarkan pengesanan kelainan melalui mammografi sahaja.

 ABUS

 Kelebihan ABUS

  • Sistem ultrasound payudara automatik dan tidak invasif
  • Menghasilkan imej 3D yang menyeluruh dan konsisten
  • Tiada pendedahan radiasi, selamat untuk pesakit
  • Membantu mengesan kanser payudara invasif yang kecil dan awal
  • Bertindak sebagai pemeriksaan tambahan kepada mammografi

Gabungan mammografi tomosintesis (GMM Viola DBT) dan ABUS membolehkan pendekatan saringan yang lebih menyeluruh, tepat dan berfokuskan pesakit.

Penggunaan teknologi terkini ini mencerminkan komitmen Unit WISH dalam menyediakan perkhidmatan pengimejan payudara yang berkualiti tinggi, selamat dan berfokuskan pesakit.

Unit WISH mempunyai kemudahan mesin berikut:

  • 1 unit Ultrasound ACUSON Sequioa
  • 1 unit Ultrasound Samsung V1
  • 1 unit Ultrasound 3D ABUS INVENIA R2
  • 1 unit (mesin mammogram) VIOLA DBT GMM
  • 1 unit Mesin Bone Densitometri Tulang (DEXA) Hologic Discovery A

High End Ultrasound ACUSON Sequioa

 

High End Ultrasound Samsung V7

 

Jenis pemeriksaan Yang Ditawarkan Di Unit WISH

  • Mammogram
  • Stereotactic Core Breast Biopsy
  • CESM-Contrast Enhancement Spectral Mammography
  • Ultrasound 2D dan 3D
  • Ultrasound-guided abscess aspiration
  • Ultrasound-guided breast core biopsy
  • Ultrasound-Guided Hookwire Localization

Persediaan Pesakit bagi Pemeriksaan Mammografi

Pemeriksaan mammografi memerlukan persediaan khusus bagi memastikan imej yang dihasilkan jelas dan tepat. Semua pesakit perlu mematuhi arahan persediaan yang ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan kualiti pemeriksaan dan berkemungkinan menyebabkan pemeriksaan perlu diulang.

Arahan Persediaan:

  1. Cukur bulu ketiak sebelum hadir untuk pemeriksaan mammografi.
  2. Pastikan kawasan dada dan ketiak bersih.
    Pada hari pemeriksaan, anda tidak dibenarkan memakai:
    • bedak (talkum)
    • deodoran
    • losyen
    • minyak wangi

di bahagian badan atas, dada, leher dan ketiak.
Penggunaan bahan-bahan ini boleh menghasilkan artifak pada imej mammogram, seterusnya menjejaskan kualiti imej dan menyebabkan pemeriksaan perlu diulang.

  1. Maklumkan kepada doktor atau juru X-ray yang bertugas sekiranya anda:
    • Mengalami sebarang perubahan pada payudara
    • Pernah mengalami kesakitan payudara, sama ada seminggu sebelum haid atau pada hari pemeriksaan
    • Pernah menjalani pembedahan payudara
    • Mempunyai sejarah kanser lain
  2. Anda disarankan untuk memakai pakaian dua bahagian (two-piece clothing) bagi keselesaan semasa pemeriksaan, seperti:
    • baju kurung
    • baju dan kain
    • baju dan seluar
  3. Sila pastikan skaf kepala atau ikatan rambut dipakai dengan kemas bagi memudahkan proses pemeriksaan.

 

Perhatian kepada Pesakit

1. Hubungi kami jika tidak dapat hadir atau untuk sebarang pertanyaan.
2. Maklumkan sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
3. Sila hadir 15 minit lebih awal pada tarikh dan masa temujanji
4. Bawa filem/CD berserta laporan radiologi terdahulu (jika ada) untuk tujuan perbandingan
5. Pesakit dinasihatkan tidak memakai barang kemas pada hari temujanji pemeriksaan.
6. Jangkamasa pemeriksaan bergantung kepada keadaan pesakit dan penyakit. Sekiranya perlu, doktor akan melakukan pemeriksaan ultrasound ke atas pesakit setelah meneliti imej mammografi yang dihasilkan oleh juru x-ray.
7. Pemeriksaan ini berkemungkinan dibatalkan jika perkara-perkara di atas tidak dipatuhi.

 

BONE DENSITOMETRI TULANG (DEXA)

 Pengenalan 

Perkhimatan Unit WISH juga termasuk DEXA iaitu Dual energy Xray absorptiometry yang digunakan untuk prosedur BMD ( Bone mineral density ). BMD adalah untuk mengukur ketumpatan tulang belakang, pinggul, pergelangan tangan dan keseluruhan badan. Prosedur ini penting untuk mendiagnos osteoporosis atau penipisan tulang dan mungkin akan dilakukan secara berkala untuk mengesan perubahan dalam ketumpatan tulang tersebut. Jumlah sinaran yang digunakan dalam DEXA scan adalah sangat rendah dan mungkin sama dengan jumlah sinaran yang digunakan dalam xray biasa. Keputusan daripada DEXA scan dikenali sebagai T-skor . T-skor akan menentukan sama ada anda mempunyai tulang normal, ketumpatan tulang yang rendah (osteopenia) atau osteoporosis.

Bila Pemeriksaan Bone Densitometri Tulang (DEXA) Diperlukan

1. Mengenalpasti osteoporosis serta meramal risiko keretakan tulang.
2. Melihat keberkesanan ubat osteoporosis.
3. Wanita 65 tahun ke atas dan lelaki 70 tahun ke atas cenderung ke arah osteoporosis.
4. Kehilangan ketinggian yang ketara (tanda keretakan mampatan dalam tulang belakang).
5. Mengambil ubat corticosteroid (Prednisolone, methylprednisolone) setiap hari selama lebih daripada 3 bulan.
6. Sejarah keluarga mengalami osteoporosis.
7. Menopaus awal (sama ada daripada sebab semula jadi atau pembedahan).

Hologic Discovery A (DEXA)