Testing and Commisioning Mesin Ultrasound Shearwave
Selasa, 19 Mac 2024
Jabatan Radiologi telah mengorak langkah ke depan lagi dengan perolehan 1 unit mesin Ultrasound High End with Shearwave Application. Satu sesi pengujian dan pentauliahan (Testing & Commisioning) telah berjaya dilakukan. Ia melibatkan pihak pembekal, pihak Jabatan Radiologi sebagai pengguna, pihak UPKA (Unit Pentadbiran dan Kemudahan Am) selaku PTJ Hospital USM dan pihak JPPF (Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) sebagai wakil kepakaran. Seterusnya program latihan asas akan diaturkan oleh wakil pembekal (Application Specialist) dan akan melibatkan semua pelajar sarjana perubatan (Radiologi).
Dengan perolehan mesin yang sofistikated ini, banyak faedah akan diperolehi oleh para pelajar sarjana perubatan dan juga perkhidmatan ultrasound di Jabatan Radiologi. Ia merupakan mesin Ultrasound yang berprestasi tinggi, mempunyai julat kebolehan yang banyak dan mampu melakukan semua keperluan fungsi pengimejan di dalam bidang Ultrasound. Dengan ini, para pelajar akan dapat merasai dan memperolehi kemahiran-kemahiran baru menggunakan teknologi terkini. Perkhidmatan diagnostik dan therapeutik bagi pengimejan ultrasound juga akan lebih berkesan dalam mengesan penyakit dan melakukan prosedur seperti biopsy. Secara langsung, masa prosedur ke atas pesakit akan dapat dikurangkan dan keselesaan pesakit dapat dioptimumkan.
Ketua Jabatan, Profesor Madya Dr. Khairil Amir Sayuti turut serta dalam sesi pengujian dan merasai sendiri pengalaman mengendalikan alatan tersebut. Dengan kehadiran mesin ini, harapan supaya kualiti perkhidmatan pengimejan ultrasound Jabatan Radiologi dapat dipertingkatkan lagi. Selain itu, kerja-kerja kajian klinikal juga dapat diterokai, ditawarkan kepada para pengkaji yang berminat. Tambahan lagi, kajian yang dibuat dengan menggunakan peralatan ini seharusnya akan memberikan data-data yang lebih banyak dan lebih tepat.
Semoga perolehan peralatan ini akan memberikan impak yang besar terhadap perkhidmatan Jabatan Radiologi, aktiviti pembelajaran dan pengajaran serta memberikan faedah secara klinikal kepada semua lapisan masyarakat selari dengan halatuju APEX USM.
Teks / Foto : Ahmad Fakharuddin Mohamad Napi