Skip to main content

Jabatan Radiologi PPSP

SESI PEMBELAJARAN BERTERUSAN STAF JABATAN RADIOLOGI

Jabatan Radiologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), telah mengadakan Sesi Pembelajaran Berterusan Staf yang memfokuskan kepada topik CT Thorax dan Liver Imaging sebagai usaha memperkukuh pengetahuan, kemahiran serta kompetensi staf dalam bidang pengimejan diagnostik.

Sesi CT Thorax telah disampaikan oleh Dr. Wan Aireene Wan Ahmed, Pakar Radiologi yang membincangkan indikasi pemeriksaan CT thorax, protokol pengimejan, aplikasi High Resolution Computed Tomography (HRCT) serta kaedah penilaian kualiti imej bagi menghasilkan imej diagnostik yang berkualiti tinggi dan mempunyai nilai klinikal.

Sementara itu, sesi Liver Imaging telah disampaikan oleh Dr. Nasibah Mohamad, Pakar Radiologi yang berkongsi pengetahuan berkaitan teknik pengimejan hati, pemilihan protokol yang bersesuaian mengikut indikasi klinikal serta kepentingan pengimejan dalam membantu penilaian dan diagnosis pesakit secara lebih tepat.

Penganjuran sesi pembelajaran seperti ini merupakan platform penting dalam memastikan warga Jabatan Radiologi sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam bidang pengimejan diagnostik, selain mengamalkan pendekatan serta amalan terbaik yang selaras dengan standard semasa. Inisiatif ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kompetensi staf, kualiti penyampaian perkhidmatan, kecekapan amalan kerja serta keselamatan pesakit.

Jabatan Radiologi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penceramah atas kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman, serta kepada semua peserta yang telah hadir dan memberikan komitmen sepanjang sesi pembelajaran ini. Diharapkan program seumpama ini akan terus menjadi medium pembangunan profesional yang berterusan dalam melahirkan warga kerja yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.