Skip to main content

Jabatan Radiologi PPSP

Sesi Libat Urus Keselamatan Kebakaran Sistem MRI Bersama JBPM Negeri Kelantan


13 Mei 2026 – Jabatan Radiologi, Hospital Pakar USM telah melaksanakan satu sesi libat urus berkaitan keselamatan kebakaran melibatkan sistem Magnetic Resonance Imaging (MRI) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan.

Sesi ini bertujuan mendapatkan pandangan dan input daripada pihak bomba berhubung prosedur tindak balas kecemasan yang bersesuaian sekiranya berlaku kebakaran melibatkan mesin MRI, khususnya mengambil kira risiko tarikan magnet yang tinggi semasa operasi pemadaman dijalankan.

Pasukan JBPM yang hadir diketuai oleh PBK II Mohd Khairul Hafizi bin Abdullah bersama tujuh anggota dari Balai Bomba Tunjung dan Kota Bharu. Mereka turut diberikan taklimat mengenai potensi bahaya (hazard) sistem MRI serta dibawa melawat fasiliti dan mesin MRI yang terdapat di Jabatan Radiologi.

Sesi libat urus ini diakhiri dengan latihan pengungsian bangunan yang melibatkan semua staf dan pelawat di Jabatan Radiologi pada sebelah petang. Latihan tersebut dikendalikan oleh pasukan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Jabatan Radiologi dengan kerjasama Jawatankuasa Kecil Keselamatan Kebakaran (JKKP) Hospital Pakar USM.