Sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia
Kubang Kerian, Khamis, 12 September 2024 – Jabatan Radiologi Hospital USM telah mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-67 dan Hari Malaysia dengan penuh meriah dalam satu majlis yang diadakan di ruang legar kaunter utama jabatan. Sambutan ini bukan sahaja memperingati perjuangan negara, malah menjadi medan untuk mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan warga jabatan.
Majlis tersebut dipengerusikan oleh Penolong Pengurus Jabatan Radiologi, iaitu Pn. Norfataha Mohd Daud. Acara dimulakan dengan bacaan doa yang syahdu, dipimpin oleh En. Firdaus bin Daud, yang diharapkan menyerikan lagi suasana dengan keberkatan dan harapan untuk kesejahteraan negara.
Ketua Jabatan Radiologi, Prof. Madya Dr. Khairul Amir Sayuti, kemudiannya menyampaikan ucapan pembukaan yang penuh makna. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan kegembiraan melihat kreativiti warga jabatan yang berjaya menghasilkan bendera dan peta Malaysia menggunakan bahan terbuang dan terpakai. Karya-karya ini bukan sahaja simbol patriotisme, tetapi juga lambang komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.
Selepas ucapan, majlis diteruskan dengan nyanyian lagu-lagu kebangsaan, termasuk "Negaraku," "Sejahtera Malaysia," dan "Jalur Gemilang." Setiap staf menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan penuh semangat dan bangga, memancarkan cinta mereka terhadap tanah air tercinta.
Majlis diakhiri dengan sesi ucapan Hari Kemerdekaan daripada staf yang hadir, disusuli dengan sesi fotografi yang merakam kenangan manis acara tersebut. Acara ditutup dengan hidangan kudapan ringan yang disediakan oleh pihak jabatan, melengkapkan sambutan yang penuh bermakna dan berjiwa patriotik.
Teks / Foto : Mohammad Hisyam Zulkefli