Skip to main content

Jabatan Radiologi PPSP

Radiologi HPUSM Jayakan Program Komuniti STI di ‎SMK Bukit Jawa

Jabatan Radiologi Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah berjaya menganjurkan Program Komuniti Sains, Teknologi & Inovasi (STI) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa sebagai usaha memperkasa pendidikan STEM dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Program ini dilaksanakan dalam tiga fasa bermula pada 18 Januari 2026 (Fasa 1), diikuti 4 Februari 2026 (Fasa 2) dan berakhir pada 12 Februari 2026 (Fasa 3).

Pemangkin Inisiatif STI 1003

Penganjuran sulung ini merupakan hasil pemilihan Pegawai Sains (Fizik) Jabatan Radiologi, Ts. Nik Kamarullah bin Ya Ali sebagai salah seorang saintis pelaksana bagi Program STI 1003 – Kitaran 2.

Program STI 1003 ialah inisiatif bersepadu di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang mensasarkan penglibatan aktif 100 saintis tempatan bersama 100 buah sekolah dalam tempoh 100 hari, dengan matlamat menyemarakkan budaya sains, teknologi dan inovasi di peringkat akar umbi.

 

Fasa 1: Perkongsian Ilmu & Kesedaran Keselamatan Sinaran

Fasa pertama menyaksikan kolaborasi strategik antara Jabatan Radiologi HPUSM bersama rakan akademik dari Program Sinaran Perubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) serta Institute for Artificial Intelligence and Big Data (AIBIG) UMK.

Beberapa siri syarahan telah disampaikan kepada 964 orang pelajar berkaitan perkembangan teknologi sains perubatan, aplikasi Artificial Intelligence (AI) dalam bidang kesihatan, serta kepentingan keselamatan sinaran. Turut diadakan sesi perbincangan kumpulan berfokus bersama guru-guru sains bagi memperkukuh kefahaman berkaitan aspek keselamatan dan amalan terbaik dalam pengendalian sinaran.

Fasa 2: Karnival STI Meriah dan Interaktif

Kemuncak program diteruskan melalui penganjuran Karnival STI pada Fasa 2, melibatkan penyertaan seramai 50 orang staf Jabatan Radiologi yang terdiri daripada pelbagai profesion kesihatan.

Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan termasuk pameran perkhidmatan radiologi, demonstrasi teknologi perubatan serta aktiviti interaktif bersama pelajar. Selain itu, pemeriksaan kesihatan wanita turut disediakan khas buat guru-guru wanita sekolah sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti pendidik.

Seramai 50 pelajar STEM A terpilih turut diberikan pendedahan mengenai laluan kerjaya dalam bidang kesihatan melalui sesi perkongsian bersama wakil setiap profesion yang berkhidmat di Jabatan Radiologi.

 

Fasa 3: Eksplorasi Dunia Radiologi Secara Langsung

Fasa terakhir menyaksikan lawatan sambil belajar melibatkan 50 pelajar STEM A bersama lima orang guru pengiring ke Jabatan Radiologi HPUSM.

Para pelajar berpeluang melihat secara langsung mesin dan teknologi terkini yang digunakan dalam perkhidmatan radiologi serta melawat Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi & Onkologi HPUSM. Rombongan turut dibawa meninjau makmal Sinaran Perubatan PPSK, makmal SPICES (Anatomi) serta makmal An Nahl yang memfokuskan penyelidikan madu kelulut.

Secara keseluruhannya, Program Komuniti STI ini bukan sahaja membuka ruang pendedahan awal kepada pelajar terhadap dunia sains perubatan dan teknologi kesihatan, malah memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam usaha melahirkan generasi celik STEM yang berdaya saing.

Teks & Foto : Nik Kamarullah Ya Ali