Prosedur Physician-Modified Endovascular Graft (PMEG)
Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) sekali lagi melakar sejarah dalam bidang perubatan apabila berjaya melaksanakan prosedur Physician-Modified Endovascular Graft (PMEG) bagi rawatan aneurisma aorta kompleks. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kepakaran tinggi warga perubatan HPUSM, malah mengukuhkan lagi kedudukan hospital ini sebagai antara pusat rujukan utama dalam rawatan vaskular di Malaysia, khususnya di Pantai Timur.

PMEG merupakan satu teknik inovatif yang melibatkan pengubahsuaian stent-graft secara manual oleh pakar sebelum prosedur dijalankan. Pendekatan ini memberi kelebihan besar dalam situasi kritikal, terutamanya bagi pesakit yang tidak mempunyai masa untuk menunggu tempoh penyediaan graft khas dari luar negara atau bagi mereka yang mempunyai struktur anatomi yang kompleks dan tidak sesuai dengan graft standard sedia ada. Dengan teknik ini, rawatan dapat dilakukan dengan lebih cepat, tepat dan disesuaikan mengikut keperluan individu pesakit.
Prosedur berteknologi tinggi ini telah dilaksanakan di Unit Advanced Minimally Invasive Endovascular & Neurointervention (AMIEN), Jabatan Radiologi HPUSM. Ia diketuai oleh Pakar Bedah Vaskular, Mr Roslenifaizur, bersama Pakar Radiologi Intervensi Dr Bazli Md Yusoff. Prosedur ini turut mendapat bimbingan profesional (proctorship) daripada Pakar Bedah Vaskular dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Mr Rafizi Hariz, yang memberikan panduan serta sokongan teknikal sepanjang pelaksanaan.
Kejayaan pelaksanaan PMEG ini bukan sahaja membuktikan keupayaan HPUSM dalam mengendalikan kes-kes kompleks, tetapi juga menunjukkan komitmen berterusan hospital dalam memperkenalkan teknologi terkini demi meningkatkan kualiti rawatan pesakit. Ia turut membuka lebih banyak peluang kepada pesakit di rantau ini untuk mendapatkan rawatan canggih tanpa perlu dirujuk ke pusat perubatan luar.

Selain itu, pencapaian ini turut mencerminkan kekuatan kerja berpasukan yang melibatkan pelbagai disiplin kepakaran termasuk pakar bedah, pakar radiologi, jururawat, juruteknologi serta kakitangan sokongan lain. Setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan prosedur berjalan lancar dan selamat.
Penghargaan setinggi-tingginya diberikan kepada seluruh pasukan yang terlibat atas dedikasi, komitmen dan profesionalisme yang ditunjukkan. Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi dan pencapaian pada masa hadapan, sekali gus memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan rawatan vaskular kompleks.
Semoga segala usaha dan kepakaran yang dicurahkan ini menjadi asbab kesembuhan, kesejahteraan dan kualiti hidup yang lebih baik buat para pesakit.
