Skip to main content

Jabatan Radiologi PPSP

PROGRAM KPT PRIHATIN MADANI: TANAH MERAH

Tanah Merah 10 Oktober 2024, Unit Women Imaging Suite (WISH) dari Jabatan Radiologi Hospital Pakar USM (HPUSM) telah menyertai Program KPT Prihatin Madani ""East Coast Wellness Breast Carnival" bertempat di Dewan Jubli Perak, Majlis Daerah Tanah Merah anjuran HPUSM, Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HOSZA) dengan kerjasama MAKNA, LPPKN dan Majlis Daerah Tanah Merah.

Program ini merupakan satu program jangkauan komuniti yang melibatkan masyarakat setempat terutamanya penduduk di daerah Tanah Merah bagi mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma dengan menggunakan kemudahan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui HPUSM dan HOSZA.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung adalah pemeriksaan penyakit lazim surgeri, pemeriksaan kesihatan (tekanan darah, gula dan kolesterol), demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara,pertandingan mengubah kek, ceramah kesihatan dan cabutan bertuah untuk para pengunjung.

Orang awam berpeluang untuk membuat pemeriksaan ultrasound 3D payudara percuma dengan menggunakan mesin Invenia Abus 2.0 yang baru diperolehi pada Jun 2024 dimana ianya dapat membantu membuat saringan awal bagi pengesanan penyakit kanser payudara.

Seramai 36 orang peserta yang menyertai pemeriksaan saringan payudara yang melibatkan pemeriksaan klinikal payudara, Ultrasound 2D dan Ultrasound 3D. Daripada saringan awal yang dijalankan ini, terdapat beberapa peserta yang dirujuk ke HPUSM dengan kadar segera.   

Dalam program ini, unit WISH juga telah diberikan ruang pameran untuk memperkenalkan dan mempromosikan kepada orang awam mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Radiologi melalui unit WISH.

Dengan adanya program seumpama ini, kepakaran HPUSM dalam penjagaan kesihatan dapat dimanfaatkan sepenuhnya kepada komuniti setempat di samping dapat memberi pendedahan dan pendidikan umum penjagaan kesihatan kepada orang awam. Objektif untuk mendekati masyarakat tercapai dengan hasil aktiviti pemeriksaan yang dijalankan. Pencapaian objektif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit secara individu, tetapi juga kepada sistem kesihatan secara keseluruhan.

Sumber: Puan Norida Binti Ahmad

Editor: Muhammad Syazwan Bin Rosnan