PROGRAM KPT PRIHATIN MADANI: PASIR PUTEH
Pasir Puteh 23 September 2024, Unit Women Imaging Suite (WISH) dari Jabatan Radiologi Hospital Pakar USM (HPUSM) telah menyertai Program KPT Prihatin Madani bertempat di Dewan Utama Majlis Daerah Pasir Puteh anjuran USM melalui Breast Cancer Awareness and Research Unit (BestARi) dan Jabatan Pembedahan HPUSM dengan kerjasama Majlis Daerah Pasir Puteh.
Program ini merupakan satu program jangkauan komuniti yang melibatkan masyarakat setempat terutamanya penduduk di daerah Pasir Puteh bagi mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma dengan menggunakan kemudahan dari Hospital Pakar USM. Objektif utama program ini adalah untuk mendekati masyarakat dalam menyebarkan tentang kesedaran penjagaan kesihatan.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung adalah pemeriksaan penyakit lazim surgeri, pemeriksaan kesihatan (tekanan darah, gula dan kolesterol), demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara, ceramah kesihatan dan cabutan bertuah untuk para pengunjung. Juga disediakan pemeriksaan saringan bagi Ultrasound 2D dan Ultrasound 3D yang mana pemeriksaan ini dijalankan di dalam bas khas komuniti.
Orang awam berpeluang untuk membuat pemeriksaan ultrasound 3D payudara percuma dengan menggunakan mesin Invenia Abus 2.0 yang baru diperolehi pada Jun 2024 dimana ianya dapat membantu membuat saringan awal bagi pengesanan penyakit kanser payudara.
Dalam program ini, unit WISH juga telah diberikan ruang pameran untuk memperkenalkan dan mempromosikan kepada orang awam mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Radiologi melalui unit WISH.
Dengan adanya program seumpama ini, kepakaran HPUSM dalam penjagaan kesihatan dapat dimanfaatkan sepenuhnya kepada komuniti setempat di samping dapat memberi pendedahan dan pendidikan umum penjagaan kesihatan kepada orang awam.
Sumber: Puan Norida Binti Ahmad
Editor: Muhammad Syazwan Bin Rosnan