Skip to main content

Jabatan Radiologi PPSP

Majlis Makan Malam "Gala Nusantara"

KOTA BHARU, 25 November 2023 – Baru-baru ini, satu majlis makan malam bertemakan “Gala Nusantara” anjuran Jabatan Radiologi dan Kelab Sinaran Perubatan (KSP) telah diadakan di Crown Garden Hotel, Kota Bharu. Majlis makan malam ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan menyuburkan semangat kebersamaan antara semua staf di Jabatan Radiologi dan ahli keluarga mereka. Di samping itu, para jemputan yang hadir anggun dan segak menggayakan busana pilihan masing-masing dengan penuh seri dan gemerlapan, mencirikan kekayaan budaya dan sejarah di rantau ini, lantas menambahkan kemanisan rakaman detik yang berlangsung.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pengerusi KSP (Kelab Sinaran Perubatan), Dr. Mohd Hafizuddin Husin@Mohd Hussin dan seterusnya majlis dirasmikan dengan ucapan dari Prof. Madya Dr. Khairil Amir Sayuti, selaku Ketua Jabatan Radiologi HUSM. Selama majlis ini berlangsung, pelbagai agenda telah dijalankan seperti cabutan bertuah, penyerahan sumbangan jualan amal dari unit WISH dan penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti yang telah dijalankan oleh KSP sepanjang 2023. Majlis juga mengambil ruang untuk meraikan Prof. Madya Dr. Juhara Haron dan En. Amaludin Mohd Zin sebagai penghargaan di atas jasa dan budi sepanjang perkhidmatan mereka. Selain dari itu, En. Khew Kuan Kooi dan En. Sayed Md Nasir Sayed Hassan telah dipilih melalui undian ramai untuk menerima Anugerah Staf Pilihan Jabatan Radiologi.

 

Teks / Foto : Siti Adibah Misran