Kursus CT Skan Siri 1 2024
Kota Bharu, 9 Jun 2024 (Ahad) : Jabatan Radiologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) telah menganjurkan satu kursus bertajuk “CT Scan Course for Radiographers 1: Physics and Instrumentation” bertempat di Bilik Konferens, Jabatan Radiologi yang disampaikan oleh Dr. Noor Diyana Osman, Pensyarah Universiti, Jabatan Pengimejan Bioperubatan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam, Pulau Pinang.
Seramai 31 orang peserta terdiri daripada juru x-ray Jabatan Radiologi HUSM telah menghadiri kursus tersebut yang bertujuan untuk memantapkan lagi teori pengetahuan berkenaan dengan prinsip fizik dan instrumentasi berkaitan dengan mesin Computed Tomography (CT Scan).
Kursus ini dijalankan dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari yang dimulai oleh bacaan doa oleh En. Mohamad Hilman Mohamed dan ucapan aluan oleh Puan Norfataha Mohd Daud selaku Penyelaras Latihan Jabatan Radiologi. Peserta yang terlibat juga dikehendaki menjawab kuiz berbentuk interaktif berkaitan fizik dan instrumentasi CT Scan sebagai persediaan minda sebelum kursus dijalankan.
Antara kandungan penyampaian kursus adalah berkaitan dengan fizik asas, kualiti imej, faktor yang mempengaruhi dos radiasi dan pendedahan kepada teknologi terkini yang terdapat pada mesin CT Scan. Ini sekaligus dapat membantu peserta mengaplikasikan teori fizik di dalam tugasan klinikal pada modaliti CT Scan.
Sesungguhnya, penganjuran kursus seperti ini amatlah memberi impak yang positif kepada peserta terlibat dan diharapkan ianya dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
Teks / Foto : Muhammad Syazwan Bin Rosnan