Skip to main content

Jabatan Radiologi PPSP

Hari Keluarga Jabatan Radiologi 2024 (Bekwoh)

19 Julai Jumaat, Jabatan Radiologi dengan kerjasama Kelab Sinaran Perubatan telah menganjurkan acara dwi tahunan iaitu hari keluarga peringkat jabatan. Penganjuran hari keluarga pada tahun ini terdapat sedikit kelainan berbanding dengan penganjuran pada tahun-tahun sebelumnya kerana hari keluarga yang diadakan pada tahun ini bertemakan Kenduri Kahwin Melayu Klasik.

Program bermula pada 18 Julai dengan para petugas dan jawatankuasa penganjur bergotong-royong menyediakan bahan-bahan untuk memasak pada keesokan harinya. Mereka bergotong royong mengupas bawang, halia, lengkuas dan bahan-bahan lain dan seterusnya mengisar bahan-bahan tersebut. Kemudian mereka meneruskan dengan proses “ mmati awah “ ataupun menumis rempah untuk memasak lauk daging gulai.

Pada pagi 19 Julai, program gotong-royong dimulakan dengan acara menyiang daging dan ayam yang akan dimasak. Para petugas juga bergotong-royong memasak menu sampingan lain. Menu yang disediakan untuk santapan para hadirin ialah daging gulai, ayam masak merah, acar masak umbut kelapa, acar mentah timun batang, ikan kering dan juga sambal. Buah tembikai dan bubur kacang hijau turut disediakan sebagai hidangan pencuci mulut. Semua menu untuk jamuan ini telah dimasak sendiri oleh staf jabatan yang terlibat.

Acara bermula pada pukul 2.30 petang selepas solat Jumaat apabila hadirin dan tetamu jemputan khas mula menjamu selera. Tetamu jemputan khas iaitu staf Jabatan Radiologi yang telah pencen turut dihadiahkan dengan bunga telur sebagai tanda kenangan. Sambil hadirin menjamu selera, ahli jawatankuasa telah mengadakan tiga pusingan cabutan nombor bertuah. Hadiah cabutan nombor bertuah pada kali ini merupakan barangan makanan dan keperluan harian.

Pada sebelah petang pula diadakan acara sukaneka untuk dewasa dan kanak-kanak. Sebanyak 5 jenis permainan telah diadakan dan disertai oleh anak-anak dan staf pelbagai peringkat. Acara sukaneka ini sedikit sebanyak mencetuskan keceriaan di kalangan staf dan anak-anak mereka. Diharapkan program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara staf Jabatan Radiologi disamping melupakan tekanan kerja yang tidak berpenghujung.

 

Teks / foto : Muhammad Iqbal Mohamad Nor