CME X-Ray Lumbosacral : Teknik dan Penilaian Kualiti Imej
Khamis, 17 April 2025, Jabatan Radiologi Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kampus Kesihatan telah menganjurkan satu sesi pembelajaran berterusan (CME) bertajuk "X-Ray Lumbosacral: Teknik dan Penilaian Kualiti Imej" yang telah berlangsung di Dewan Kuliah 7, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM Kampus Kesihatan.
Sesi ini bermula pada jam 8.10 pagi hingga 9.10 pagi dan telah disampaikan oleh Pn. Nur Hariesa Mohamed Hanaffi, dengan bantuan En. Mohd Sabri bin Mat Johari, kedua-duanya merupakan Juru X-Ray dari Jabatan Radiologi. Mereka telah berkongsi secara komprehensif mengenai teknik yang betul dalam pengambilan imej X-ray lumbosakral serta kriteria penting dalam menilai kualiti imej radiograf untuk tujuan diagnostik.
Antara intipati utama yang dibincangkan termasuklah pemilihan parameter pendedahan yang sesuai, penempatan pesakit secara optimum, serta penilaian imej dari segi kontras, kejelasan, dan keterlihatan struktur anatomi.
Program ini memberikan nilai tambah kepada staf Juru X-Ray, sejajar dengan keperluan pematuhan lesen di bawah seliaan Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan (BKRP). Setiap peserta telah diberikan 1 mata CPD BKRP Radiologi, yang menyumbang ke arah pemenuhan syarat minimum 4 jam CME tahunan.
Sesi ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan, di mana sesi soal jawab serta perkongsian pengalaman antara pakar radiologi dan Juru X-Ray telah menghidupkan lagi suasana dan menambah nilai pembelajaran.