CME Perlesenan Radiologi HPUSM Fokus kepada Perlindungan Sinaran di Angio Suite
Kota Bharu, 3 Julai 2025 – Jabatan Radiologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah menganjurkan satu sesi CME Perlesenan peringkat jabatan yang berlangsung pada 3 Julai 2025 bertempat di Bilik Sumber Pelajar, Aras 1, Blok Pembelajaran & Sumber Pelajar (BPSP), Kampus Kesihatan USM.
Ceramah bertajuk “Radiation Protection in Interventional Radiology: Safeguarding Patients and Staff” telah disampaikan oleh Dr. Nasibah Mohamad, Pakar Radiologi Intervensi HPUSM merupakan sebahagian daripada inisiatif pendidikan berterusan dalam memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan sinaran, khususnya dalam persekitaran fluoroskopi dan angiografi yang berisiko tinggi.
Kandungan ceramah merangkumi:
- Prinsip asas perlindungan sinaran,
- Teknik-teknik dan amalan perlindungan sinaran yang diamalkan di bilik fluoroskopi dan angiografi,
- Maklumat terkini berkenaan perbandingan Diagnostic Reference Level (DRL) peringkat kebangsaan dan DRL di peringkat HPUSM yang disampaikan oleh En. Nik Kamarullah Ya Ali, Pegawai Sains Jabatan Radiologi HPUSM.
Sesi ini juga memberi penekanan kepada peranan setiap anggota kesihatan dalam memastikan keselamatan radiologi bukan sahaja untuk pesakit, tetapi juga kepada petugas dan persekitaran kerja.
Program ini telah mendapat pengiktirafan 1 mata CPD daripada Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP) Kementerian Kesihatan Malaysia. Seperti yang ditetapkan, semua pekerja yang terdedah kepada sinaran perlu melengkapkan sekurang-kurangnya 4 jam mata CME BKRP sepanjang tahun 2025 bagi memenuhi keperluan perlesenan tahunan.
Kehadiran dan penglibatan aktif warga Jabatan Radiologi membuktikan komitmen berterusan terhadap amalan klinikal yang selamat, beretika dan berpandukan garis panduan kebangsaan. Usaha ini sejajar dengan aspirasi HPUSM dalam mengekalkan tahap kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan radiologi yang selamat dan berkualiti.
Teks oleh: Muhammad Syazwan Rosnan