Skip to main content

Jabatan Radiologi PPSP

Bengkel Interaktif Radiografer : Penanda Aras Terbaik dalam Radiografi Konvensional

Tarikh: 6 September 2025 (Sabtu)

Masa: 8.00 pagi - 5.00 petang
Lokasi: Jabatan Radiologi

Jabatan Radiologi telah berjaya menganjurkan satu bengkel interaktif bertajuk "Interactive Course For Radiographer: Patient Positioning & Image Evaluation" pada 6 September yang lepas. Bengkel sepanjang hari ini dianjurkan khusus untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kakitangan radiografi dalam aspek memposisikan pesakit dan penilaian kualiti imej yang kritikal untuk diagnosis yang tepat.

Bengkel yang bermula tepat pada pukul 8.00 pagi itu dimulakan dengan sesi pendaftaran dan diteruskan dengan bacaan doa serta ucapan alu-aluan daripada wakil pengurusan, En. Nik Fauriza Bin Nik Lah.

Sesi perkongsian ilmu bermula pada pukul 8.30 pagi dengan ceramah pertama yang disampaikan oleh En. Ahmad Zaky Harun, Juru X-ray dari PPSK. Beliau membentangkan topik "Understanding Radiographic Image Criteria: A Quality Approach to Chest X-rays, Radius Ulna and Femur Radiograph", yang memberikan penekanan mendalam terhadap penanda aras kualiti untuk beberapa jenis pemeriksaan radiografi yang lazim.

Selepas rehat persegaran, para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan untuk menjalani aktiviti hands-on:

1. Stesen Pemposisian Pesakit: Diasaskan oleh En. Mohd Sabri Bin Mat Johari dan En. Ooi Kiean Lim, yang memfokuskan pada teknik melaksanakan posisi pesakit yang tepat dan selesa.
2. Stesen Penilaian Gambar: Diasaskan oleh Dr. Fattah Rahiman Bin Ghazali, Dr. Mohd Azaad Bin A. Hamid, dan En. Ahmad Zaky Harun, yang membimbing peserta menilai dan menganalisis kualiti imej radiograf berdasarkan kriteria yang telah dipelajari.

 

Sesi pagi yang padat disusuli dengan sesi rumusan pada waktu tengahari. Slot 'Cadangan Penambahbaikan & Rumusan Bengkel' serta sesi soal jawab yang interaktif telah berjaya merumuskan pembelajaran dan mengutip maklum balas berharga untuk penambahbaikan program pada masa hadapan.

Acara ditutup dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada fasilitator dan para peserta yang aktif, diikuti dengan jamuan makan tengahari dan solat berjemaah sebelum bersurai pada waktu petang.

Program ini telah mencapai objektifnya untuk mengukuhkan lagi pemahaman dan kemahiran praktikal para radiografer dalam aspek fundamental radiografi. Ia bukan sekadar sesi pembelajaran, malah berjaya mewujudkan platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman yang berharga dalam kalangan warga jabatan. Kejayaan program ini diharapkan dapat menyumbang secara langsung kepada peningkatan kualiti servis penjagaan kesihatan yang diberikan kepada para pesakit.