Skip to main content

Jabatan Radiologi PPSP

Annual Scientific Meeting MySiR 2025

Delegasi Unit Amien, Jabatan Radiologi HPUSM ke Annual Scientific Meeting MySiR 2025

Puncak Alam, 21 Jun 2025 – Seramai 21 orang delegasi dari Jabatan Radiologi, Hospital Pengajar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah menyertai Annual Scientific Meeting anjuran Persatuan Radiologi Intervensi Malaysia (MySiR) 2025 yang berlangsung di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dari 19 hingga 21 Jun 2025.

Dengan tema "Establishing Foundations, Aspiring Excellence", program ini menghimpunkan lebih 300 peserta yang terdiri daripada pakar intervensi, doktor muda, wakil industri serta pelajar perubatan dari seluruh Malaysia. Acara ilmiah tahunan yang menghimpunkan pakar-pakar dan profesional dalam bidang radiologi intervensi ini menjadi platform penting untuk perkongsian ilmu, inovasi dan pencapaian terkini dalam dunia radiologi masa kini.

                                                                    Poster rasmi ASM 2025 yang menonjolkan tema dan lokasi penganjuran di Hospital UiTM.

HPUSM turut berbangga apabila dua orang pakar radiologi intervensi mereka, Dr. Nasibah Binti Mohamad dan Dr. Mohd  Hafizuddin Bin Husin @ Mohd Hussin, telah dijemput sebagai penceramah bagi menyampaikan ceramah ilmiah dalam sesi utama persidangan. Kehadiran mereka menyerlahkan lagi kepakaran dan peranan aktif HPUSM dalam pembangunan bidang radiologi intervensi di peringkat kebangsaan.

                               

 

 

Selain itu, seramai tujuh wakil HPUSM termasuk satu wakil dari juru x-ray telah mengambil bahagian dalam pertandingan E-Poster, dengan dua peserta, Dr. May Foo Tse Ling, telah berjaya mengharumkan nama HPUSM apabila diumumkan sebagai pemenang utama bagi kategori ‘Best Moderate Poster Presentation'  manakala Dr. Fatin Syahirah binti Sulaiman mendapat tempat ketiga bagi kategori yang sama.

           

HPUSM juga menyertai pertandingan IR Games dengan kekuatan lima orang peserta, terdiri daripada dua orang pakar radiologi intervensi, seorang pegawai perubatan,  seorang juru x-ray dan seorang jururawat. Penyertaan ini mencerminkan kerjasama rentas disiplin yang erat dalam pasukan radiologi HPUSM serta komitmen mereka terhadap pengukuhan kemahiran klinikal dan teknikal dalam suasana kompetitif dan interaktif.

HPUSM turut memeriahkan program sampingan seperti TikTok Challenge dan IR Got Talent menerusi wakilnya Puan Nor Adura binti Wan Mohd Rosdi, yang tampil dalam persembahan istimewa semasa Gala Dinner MySiR 2025 pada malam 20 Jun di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam.

Penglibatan cemerlang Unit Amien, Jabatan Radiologi HPUSM dalam MySiR 2025 ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak penglibatan aktif dalam persidangan akan datang serta terus memacu kecemerlangan dalam bidang radiologi intervensi di Malaysia.