Sambutan 40 Tahun Hospital USM
Kota Bharu: Sempena Majlis Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang bertemakan 40 Tahun Hospital USM: Peneraju Ilmu, Pemacu Perkhidmatan Penyayang, Jabatan Radiologi telah dipanggil untuk terlibat dengan aktiviti pameran kesihatan dan perkhidmatan , dan ceramah promosi perkhidmatan (CME Talk) pada 19 hingga 20 November 2023 bertempat di Dewan Utama, USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang.
Majlis sambutan pada kali ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi. Majlis ini diadakan bertujuan untuk menyambut ulangtahun yang ke 40 tahun penubuhan HUSM sejak tahun 1983 di samping dapat memberi maklumat kepada umum berkenaan perkembangan semasa mengenai perkhidmatan yang ditawarkan di HUSM serta memberi infomasi penjagaan kesihatan kepada orang awam.
Jabatan Radiologi yang juga tidak ketingalan untuk menyambut majlis sambutan ini dengan membuka ruang pameran. Jabatan Radiologi telah mempamerkan kepada umum Magnetic Resonance Imaging (MRI) Simulator yang menjadi tarikan utama kepada semua hadirin bagi merasai sendiri pengalaman memasuki terowong MRI. Selain dari itu, orang awam juga dapat melihat sendiri alatan pengimejan seperti tiub x-ray, detector x-ray, alatan dosimetri, replika mesin Computed Tomography (CT) Scan dan juga alatan untuk prosedur rawatan angiografi.
Ketua Jabatan Radiologi, Prof Madya Dr Khairil Amir Sayuti juga turut turun padang untuk membantu dan memberi sokongan kepada kakitangan radiologi yang terlibat di dalam penyediaan tapak pameran ini. Aktiviti ini juga turut dimeriahkan dengan pameran poster dan video yang menerangkan setiap modaliti perkhidmatan pengimejan yang disediakan di Jabatan Radiologi dan maklumat berkenaan dengan prinsip perlindungan sinaran perubatan yang diamalkan.
Pada hari terakhir penganjuran, Program CME Talk telah dijalankan dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi di mana Ketua Jabatan Radiologi, Prof Madya Dr Khairil Amir Sayuti turut menyampaikan informasi kesihatan yang bertajuk Imbasan CT dan MRI Jantung di Hospital USM kepada orang awam yang hadir.
Diharapkan dengan adanya penganjuran program seperti ini dapat meningkatkan dan menambahkan lagi pengetahuan dalam perkhidmatan pengimejan yang ditawarkan di Jabatan Radiologi serta dapat memberi kesedaran tentang perlindungan radiasi yang berkaitan dengan perkhidmatan radiologi di kalangan masyarakat setempat.
Teks / Foto : Muhammad Syazwan Rosnan, Mohammad Hisyam Zulkefli